25 August 2010

Bukan senang merubah perangai orang politik

by Ong Tee Keat on Tuesday, August 24, 2010 at 4:55pm

Sejak tsunami politik pilihan raya ke-12, istilah transformasi semakin kerap disebut orang politik. Ia begitu popular kerana pengertian transformasi membawa harapan kepada masyarakat.

Namun pada hakikatnya laungan transformasi tidak akan membawa sebarang makna jika tidak disusuli pelaksanaan pelan tindakan yang berhasil.

Sebenarnya inilah senario politik semasa, yang terganggu-gugat bahkan tertewas dalam takuk minda yang sama. Mereka belum lagi bangkit dari trauma politik yang dialami. Amalan politik mereka yang sebelum ini dipertikai umum masih tebal dan terus berkekalan. Memang bukan senang hendak merubah perangai orang politik yang telah lama berakar-umbi dalam darah jiwa mereka. Umpamanya, mereka yang melobi projek kerajaan sebagai rezekinya, tidak mudah mengikis amalan itu walaupun ruang berbuat demikian semakin tersekat berikutan jatuhnya pemerintahan beberapa buah negeri.

Dalam keadaan demikian, kita jarang-jarang nampak sebarang usaha serius yang berupa transformasi di peringkat akar umbi parti. Istilah itu seolah-olah tinggal satu battle cry yang kosong tanpa pengikut. Komitmen orang politik terhadap transformasi tidak terasa.

Sesetengah orang politik atasan pula, tabiat politik untuk menjadikan diri jaguh bangsa melalui lemparan kata-kata perkauman tetap ada pasarannya. Malah banyak isu lapuk terus mereka ungkit tanpa sebarang hujah baru, semata-mata untuk kepentingan modal politik peribadi. Polemik kontroversial yang berusia dua tiga dekad subur kembali kebelakangan ini tanpa sebarang jalan keluar. Mungkin gelagat sebegini mudah mendapat tepuk sorak, namun risiko yang merugikan negara jarang-jarang mendapat perhatian.

Dalam perspektif ini, polemik kuota kaum, aliran sekolah jenis kebangsaan dan kata-kata mempersenda asal-usul sesuatu kaum tidak henti membara, sedangkan dalam menangani soal rasuah, ramai yang leka dalam takuk minda denial syndrome (sindrom penafian).

Sesiapa menyahut sentimen umum yang menuntut penyiasatan demi ketelusan, mudah dituding jari kerana persoal integriti pentadbiran. Keadaan bertambah buruk apabila pelbagai tuduhan, baik berasas mahupun tidak, khasnya yang luas disebarkan melalui laman web mengeruhkan lagi senario sebenar jika tiada sebarang penyiasatan meyakinkan.

Kita jarang sekali mengambil iktibar dari apa yang berlaku. Skandal BMF tahun 80-an dan kes PKFZ yang belum selesai setakat ini merupakan kes-kes profil tinggi yang klasik. Kita tidak boleh salahkan rakyat terpengaruh dengan pelbagai dakyah dalam kes-kes seperti ini, kiranya ia terus dibiarkan menjadi bahan gosip umum tanpa tindakan tegas.

Sesiapa dari parti pemerintah yang mencadangkan agar isu itu ditangani secara proaktif, mudah menempah padah. Pihak yang menuduh lazimnya gusar kerana pandangan seperti itu dianggap untuk mempopularkan diri dalam kalangan rakyat, dan bukannya untuk menegakkan budaya ketelusan dalam parti pemerintah.

Pada hakikatnya, parti pemerintah boleh membawa perubahan kepada dirinya bahkan seluruh jentera kerajaan secara proaktif dan bukannya atas desakan politik semasa. Iktibar boleh kita timba daripada peristiwa sejarah yang berlaku di sekeliling kita. Tiada pihak mahupun parti yang boleh menentang arus perubahan dibawa rakyat.

Dalam keadaan sebegini, tidakkah elok jika parti pemerintah proaktif membawa transformasi politik yang menguntungkan rakyat? Saya yakin, itu bukan sekadar dapat memberkati parti dan rakyat, malah memantapkan lagi daya saing negara dalam persada antarabangsa.

Malangnya segala ini bukanlah keutamaan orang politik yang berkepentingan peribadi. Bagi mereka, sebarang perubahan pasti mengandungi unsur-unsur ketidakpastian yang mungkin menjejaskan kepentingannya.

Apa pun motifnya, transformasi tidak akan berjaya kiranya tidak dilaksanakan dengan penglibatan rakyat dan parti.

* DATUK SRI ONG TEE KEAT ialah Ahli Parlimen Pandan dan mantan Menteri Pengangkutan*



ORIGINAL POSTING
http://www.facebook.com/notes/ong-tee-keat/bukan-senang-merubah-perangai-orang-politik/465792573131

No comments:

Post a Comment