24 October 2010

Oh! Duit rakyat dan keberkesanan kos

Submitted by webmaster on Sat, 2010-10-23 22:14
23 Oktober, 2010
Kalau kita belanja wang sendiri, sudah tentu kita prihatin terhadap keberkesanan kosnya. Namun malangnya bila wang rakyat yang terlibat dalam pelaksanaan pelbagai projek pembangunan, jarang-jarang factor keberkesanan kos diambil-kira dalam penilaiannya.

Walaupun orang awam tidak semestinya menghayati pengertian sebenar istilah ‘keberkesanan kos’, namun mereka berhak menyoal sebab-sebab di sebalik sesetengah premis kerajaan dibina dengan kos yang berlipat-ganda, jauh lebih mahal daripada kos pasaran semasa berteraskan spesifikasi yang sama.

Seperti kelazimannya, persoalan sebegini tidak akan mendapat jawapannya sekiranya ianya dating dari rakyat biasa. Dari kalangan orang politik pun, baik dari parti lawan mahupun sekali-sekala dari parti pemerintah sendiri, layanan dan reaksi yang diperolehi teta pada acuannya, yakni penafian pasti akan dibuat dengan serta-merta sebelum sebarang penyiasatan dijanjikan. Amalan ini kita kenali sebagai sindrom penafian ( denial syndrome).

Kadang kala kalau kontroversi itu dapat dihubung-kaitkan dengan politik kepartian, khasnya politik yang bercirikan perkauman, maka tumpuan perhatian awam itu akan mudah terpesong daripada soal pokok asalnya, iaitu soal kos yang berlipat-ganda. Dalam perspektif ini, pembayar cukai perlulah berwaspada agar tidak mudah terpedaya dengan gimik–gimik lapuk sedemikian.

Saya cukup terkilan acap kali melihat isu-isu seperti ini sengaja diputar-belitkan sehingga ianya menyentuh sensitivity kaum yang patutnya tidak bersangkut-paut langsung. Bila kita mempertikaikan keberkesanan kos sesuatu projek pembangunan fizikal, soal hasad-dengki dan latar-belakang kaum tidak perlu diheret masuk kedalam pertimbangan kita sama sekali. Yang kita teliti tidak lain daripada soal pokoknya sahaja, iaitu sama ada perbelanjaan projek yang berkenaan berpatutan menurut spesifikasinya.

Sebenarnya, pembaziran kita tidaklah terhad kepada elemen kos pembinaan yang dimaksudkan sahaja. Malahan banyak bangunan kerajaan yang siap dibina juga tidak kurang pembazirannya, khasnya yang tertinggal banyak ruang pejabat kosong. Ini tidak juga menepati prinsip keberkesanan kos.

Senario sedemikian sudah tentu akan membangkitkan pertikaian mengapa sesebuah bangunan itu perlu dibina. Apakah ianya dibina tanpa sebarang perancangan rapi dan tidak mengambil kira kependudukannya? Apakah sesebuah Kementerian atau agensi Kerajaan itu sudah ketandusan projek atau program aktiviti lain yang boleh memanfaatkan rakyat?

Dalam penganjuran program-program aktiviti raksasa pula, rakyat sebagai pembayar cukai boleh juga menyoal dengan logik yang sama: Apa keberkesanan kos dan justifikasinya? Saya memang setuju bahawa adalah sukar betul kita hendak menyukat tahap keberkesanan kos sesuatu program majlis keramaian raksasa. Kriteria penilaian tahap keberkesanan program-program mesra-rakyat yang dimaksudkan lazimnya tidak lain daripada saiz kehadirannya.

Tetapi sekiranya kita membuat tinjauan secara dekat, adalah didapati sering-kali peserta-peserta yang menghadiri majlis keramaian itu terdiri daripada pelatih-pelatih kita dari pelbagai institusi kerajaan. Kerahan sebegini sebenarnya tidak sekali-kali mengurangkan jumlah bayaran yuran kita kepada pakar-runding yang dilantik untuk mengelolakan program yang berkenaan.

Kini mungkin telah terbentuk satu budaya yang mana badan-badan NGO dan parti politik kita ghairah sangat outsource program aktiviti mereka kepada syarikat pakar-runding, sehinggakan lambat-laun mereka telah kehilangan kemahiran bahkan kepakaran mereka dalam pengelolaan sesuatu program.

Kita bukan hendak mempertikaikan peranan pakar-runding atau event master dalam pengelolaan program mesra-rakyat. Tetapi kalaulah sesuatu program itu memakan belanja yang besar semata-mata kerana terpaksa mengupah pakar-runding dengan mahal, ianya tetap akan menghakis belanjawan bagi program-program lain di bawah jabatan yang sama. Bukankah itu juga membazir namanya?

Satu lagi dimensi yang patut dicakupi dalam penilaian keberkesanan kos adalah lawatan-lawatan anggota pentadbiran ke seberang laut sepanjang tahun. Saya masih teringat pada satu ketika dahulu terdapat sekatan pihak berkuasa terhadap pemberian peruntukan wakil rakyat bagi membiayai program lawatan sambil belajar keluar negeri. Hujah yang diberi berpunca dari adanya elemen penyalah gunaan wang pembayar cukai bagi menampung keperluan melawat atau melancong semata-mata tanpa sebarang unsur pembelajaran.

Tetapi anehnya anggota pentadbiran seolah-olah mempunyai kuasa pengecualiannya.Walaupun mereka dikehendaki mengemukakan permohonan melalui memo Jemaah Menteri sebelum lawatan ke luar negeri dibuat, dan diikuti dengan laporan tentang hasil lawatan yang berkenaan selepas lawatan itu tamat, soal keberkesanan kos tetap perlu diteliti.

Sesebuah kementerian atau agensinya yang menjana banyak pendapatan Negara tidak semestinya melayakkan seseorang menteri atau timbalan menterinya untuk membuat lawatan keseberang laut dengan lebih kerap lagi. Lawatan kerja yang dimaksudkan hendaklah dibuat secara berhemah mengikut keperluan tugasannya.

Sebagai contoh, kalaulah pelanggan kita yang banyak membawa rezeki kepada rakyat kita datang dari Negara jiran kita, saya tidak Nampak apa logiknya menteri untuk sesebuah kementerian itu atau timbalannya boleh meminta agar melawat ke negara-negara asing yang lebih jauh.

Sebelum ini istilah KPI sering disebut-sebut kerana ianya dijadikan kayu pengukur bagi penilaian prestasi sesebuah kementerian atau penerajunya. Saya kira selain daripada NKRA ( Key Result Areas ) atau Bidang Keberhasilan Utama Negara yang diambil sebagai penentu, apa salahnya kalau elemen keberkesanan perbelanjaan turut diambil sebagai asas pertimbangan.

Bagi saya, penyalah gunaan lawatan sambil belajar dalam kalangan badan-badan sukarela NGO tidak mustahil jika berlaku pada anggota-anggota pentadbiran sendiri. Bila kita berhempas-pulas hendak membudayakan amalan membelanjakan secara berhemah, wajarlah kalau pemimpin-pemimpin atasan sendiri dapat menegak satu teladan yang meyakinkan.

Original Posting : http://ongteekeat.net

No comments:

Post a Comment