07 March 2014

Darjah Kebesaran Negeri Selangor Darul Ehsan

DARJAH KERABAT (D.K.) YANG AMAT DIHORMATI
Darjah Kelas Pertama


Darjah Kerabat (D.K.) Yang Amat Dihormati ini merupakan Darjah Kebesaran yang tertinggi sekali di Negeri Selangor Darul Ehsan. Darjah Kebesaran ini telah dizahirkan pada tahun 1961.  Ia mengandungi seutas Kalung, Lencana Kalung, Bintang Darjah, Selepang dan Lencana Selepang.

Darjah ini dikurniakan kepada kaum Kerabat Diraja di Malaysia.  Di samping itu ia juga dianugerahkan kepada raja-raja negara lain sebagai tanda penghormatan dan persahabatan yang akrab dengan Baginda. Bilangan maksima keseluruhan keahlian Darjah ini ialah 25 orang.

Mengenai kalung :

Kalung Darjah Kerabat (D.K.) Yang Amat Dihormati diperbuat daripada logam yang bersadurkan emas 101.6 sm panjang yang dipakai sama labuhnya di bahagian hadapan dan belakang, mengandungi 14 karangan mata rantai yang bersambungan. Dua mata rantai di tengah-tengah mempunyai ukiran lambang Negeri Selangor di atas bulan sabit. Mata rantai yang lain berbentuk bujur telur. Ukiran yang tertera di atasnya ialah gubahan daun kelapa melingkungi dua bilah keris bersilang, berselang-seli dengan gubahan daun kelapa melingkungi bulan sabit.

Bintang Darjahnya mempunyai lima pecahan. Ia diperbuat dari logam yang bersadurkan emas. Kulitnya dicanai dengan permata berbaris. Di tengah-tengahnya terdapat mahkota dan lambang Negeri Selangor Darul Ehsan yang beralaskan enamel merah nipis.

Ia dikelilingi oleh gubahan daun kelapa yang timbul. Lencana Darjahnya adalah merupakan bintang yang mempunyai lima pecahan. Ia berukuran 7.62 sm. Ia diperbuat dari logam yang bersadurkan emas. Mahkota dan lambang Negeri Selangor Darul Ehsan tertera di tengah-tengahnya. Lencana ini beralaskan enamel merah nipis berbayang serta dilingkungi gubahan daun kelapa yang timbul. Lencana ini terlekap di atas bintang yang mempunyai sepuluh pecahan bersadurkan perak.




DARJAH KERABAT SELANGOR KEDUA (D.K. II)

Darjah Kerabat Selangor Kedua (D.K. II) ini merupakan Darjah Kebesaran dan pengurniaan yang kedua tertinggi di Negeri Selangor Darul Ehsan. Darjah Kebesaran ini telah dizahirkan pada tahun 1977. Ia mengandungi seutas Kalung, Lencana Kalung, Bintang Darjah, Selepang dan Lencana Selepang.

Kalung Darjahnya diperbuat daripada logam bersadurkan emas dan merupakan 14 karangan mata rantai. Lambang Negeri Selangor di atas bulan sabit tertera pada mata rantai di tengah-tengah. Mata rantai yang lain berbentuk bulat. Di permukaannya terukir keris bersilang, berselang-seli dengan mata rantai yang mengandungi perkataan Allah dalam huruf jawi.

Bintang Darjah berwarna keemasan. Di permukaannya terdapat gubahan daun kelapa yang timbul.

Lencana Darjahnya berwarna enamel keemasan dan gubahan daun kelapa yang timbul berwarna enamel merah.

Selepangnya diperbuat daripada kain sutera selebar 101.6mm. Ia mempunyai dua jalur merah di tengahnya dan dipakai di atas bahu sebelah kiri melintang ke bawah sebelah pinggang kanan.

Darjah Kerabat Selangor Kedua (D.K. II) ini dikurniakan kepada kaum Kerabat Diraja di Malaysia. Ia juga dikurniakan sebagai tanda penghormatan kepada Putera-Putera Raja Negara Asing sebagai tanda penghormatan dan hubungan silaturrahim dengan Baginda Sultan. Penyandang-penyandang jawatan tinggi yang telah menyumbang jasa dan bakti yang cemerlang kepada Baginda Sultan atau Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan juga layak dipertimbangkan untuk menerima Kurniaan ini.  



DARJAH KEBESARAN SERI PADUKA MAHKOTA SELANGOR (S.P.M.S.)
DARJAH KELAS PERTAMA
Darjah Kebesaran S.P.M.S. ini dizahirkan dalam tahun 1961. Ahli kehormat Darjat Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor biasanya terdiri daripada Putera-Puteri Diraja, Pemerintah-Pemerintah dan Ketua-ketua Negara Asing.  Bilangan kuota bagi Ahli yang dikurniakan Darjah Kebesaran Kelas Pertama ini ialah 2 orang pada satu-satu masa dan bilangan maksima keseluruhannya ialah 40 orang.

Ahli-ahli yang menerima kurniaan ini berhak menggunakan gelaran "Dato' Seri" pada pangkal namanya bagi Ahli Lelaki,"Datin Paduka Seri" kepada Ahli Wanita.  Isteri Ahli-ahli lelaki menggunakan gelaran "Datin Seri" pada pangkal namanya, manakala suami kepada Ahli Wanita tidak berhak menggunakan apa-apa gelaran.  Gelaran "Dato Seri" ini adalah gelaran baru yang telah diluluskan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bertarikh 23 Disember 1998 atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.  Sebelum ini gelaran bagi penerima kurniaan tersebut ialah "Dato" bagi Ahli Lelaki dan "Datin Paduka" bagi Ahli Wanita serta "Datin bagi isteri Ahli-ahli Lelaki.

Darjah Kebesaran ini dikurniakan kepada kaum kerabat Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor serta orang-orang perseorangan yang berjawatan tinggi dan telah menyumbangkan bakti cemerlang kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor serta Kerajaan Baginda. Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor juga berhak mengurniakan Darjah Kebesaran ini kepada sesiapa sahaja yang Baginda anggap layak dan sesuai untuk menerima penghargaan dan rasa kemesraan yang paling tinggi daripada Baginda.

Kalungnya diperbuat daripada logam yang bersadurkan perak dan enamel, sepanjang 100.6 sm dan dipakai sama labuhnya di bahagian hadapan dan belakang. Kalung ini mempunyai 14 karangan mata rantai yang bersambungan. Dua mata rantai tengah mengandungi dua rangka Bendera Negeri Selangor yang dicantumkan dengan bulan sabit dan bintang dihiasi di sebelah kiri kanannya dengan dua rangkai daun getah. Kesemua gubahan ini daripada enamel.

Manakala 12 mata rantai, berbentuk bulat dan dihiasi dengan jambangan daun kelapa di sekelilingnya. Karangan-karangan ini diatur ke dalam empat pasang, setiap pasang mengandungi tiga jenis karangan rantai yang berlainan gubahannya iaitu satu mengandungi perkataan Selangor dalam huruf jawi, yang keduanya mengandungi dua pelepah daun kelapa yang bersilang, dan yang ketiganya mengandungi bulan sabit dan bintang. Tiap-tiap satu gubahan ini beralaskan logam enamel merah nipis yang berbayang.

Bintang Darjahnya diperbuat daripada logam yang bersadurkan perak, ukuran garisan mukanya ialah 6.985 sm dan mempunyai lima pecahan yang timbul, lengkap dengan bulatan-bulatan di hujung setiap pecahan ini, dan diperbuat daripada logam enamel merah. Di tengah-tengah Bintang ini terdapat pula satu bulatan berukuran garisan muka 3.175 sm yang mengandungi Lambang Negeri Selangor dengan bertalarbelakangkan enamel kuning.

Lencananya diperbuat daripada logam yang bersadurkan perak, berpecah lima dan dihiaskan sama seperti Bintang Darjah. Di antara pecahan-pecahannya juga dihiaskan dengan ukiran Lambang Negeri Selangor di atas tanah enamel merah. Lencana ini diperbuat supaya dapat digantung pada Kalung atau Selepang.

Selepangnya diperbuat daripada kain sutera merah selebar 10.16 sm dengan satu jalur berwarna kuning selebar 2.54 sm di tengah-tengahnya. Ianya dipakai dari atas bahu sebelah kanan melintang ke bawah ke sebelah pinggang kiri.

Bagi Ahli Wanita pula alat-alat Darjah Kebesaran ini adalah sama kecuali Kalungnya ialah 78.74 sm panjang tanpa dua karangan mata rantai di tengah-tengahnya kalung Ahli Lelaki. Tujuan perbezaan ini ialah agar ianya dapat dipakai dengan digantungkan di leher, manakala selepangnya selebar 5.715 sm sahaja.



DARJAH KEBESARAN DATO`SETIA-SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH (S.S.I.S.)
Darjah Kelas Pertama

Darjah Kebesaran ini dizahirkan pada tahun 2002. Bilangan kuota bagi Ahli yang dikurniakan Darjah Kebesaran Kelas Pertama ini lazimnya 2 orang pada satu-satu  masa dan bilangan maksima keseluruhannya ialah 40 orang.

Ahli Lelaki yang menerima kurniaan ini berhak menggunakan gelaran "Dato' Setia" dan Ahli Wanita yang menerima kurniaan ini berhak menggunakan gelaran "Datin Paduka Setia" manakala isteri kepada Ahli Lelaki diberi gelaran "Datin Setia". Suami kepada Ahli Wanita tidak berhak menggunakan apa-apa gelaran.

Kalung Darjah Kebesaran ini dibuat daripada logam perak yang bersadurkan emas 132 sm panjang dipakai sama labuhnya di bahagian hadapan dan belakang dan mengandungi 14 karangan yang bersambungan, dua (2) karangan di tengah yang mengandungi Bendera-bendera Negeri, diletak bersilang, diperbuat daripada logam yang bersalut enamel, di permukaannya terdapat 12 mata rantai yang mempunyai 2 bentuk, iaitu 6 daripadanya berbentuk bulat dan 6 lagi berbentuk segi sembilan. Enam (6) mata rantai bentuk bulat mengandungi tulisan khat "Sultan Idris Shah" manakala 6 mata rantai berbentuk segi sembilan mengandungi tulisan khat "Selangor Darul Ehsan". Mata-mata rantai ini disusun secara berselang-seli.

Bintang Kebesaran ini berbentuk bintang berpenjuru sembilan berukuran 9 sm garis pusat dan setiap penjuru bintang diperbuat daripada logam perak bersadur emas yang permukaannya berpotongan berlian. Manakala bahagian tengah Bintang mengandungi tulisan khat dan rumi "Sultan Idris Shah Selangor" berlatarbelakangkan enamel merah hati.

Lencana Darjah Kebesaran ini adalah sama seperti rekabentuk bintang tetapi ukurannya kecil sedikit iaitu 6 sm garis pusat. Bahagian tengah Lencana berbentuk bujur berukuran 2.07 sm lebar dan 3.05 sm tinggi serta mempunyai Lambang Diraja berlatarbelakangkan enamel merah hati dengan tulisan rumi "Sultan Idris Shah Selangor". Di bahagian atas Lencana terdapat bentuk Mahkota "D.Y.M.M. Sultan" berukuran 2.2 sm tinggi. Lencana ini direkabentuk supaya ianya boleh digantungkan daripada rantai kalun atau selepang.

Selepang Darjah Kebesaran ini diperbuat daripada kain sutera kuning selebar 11.7 sm dan mengandungi jalur merah berukuran 0.3 sm lebar di bahagian tepinya. Selepang ini dipakai di atas bahu kanan melintang ke bawah ke sebelah pinggang kiri. Bagi Ahli Wanita pula rekabentuknya adalah sama seperti Selepang Ahli Lelaki kecuali ukurannya adalah selebar 7.7 sm dan mengandungi jalur merah berukuran 0.2 sm lebar di setiap bahagian tepinya.




DARJAH KEBESARAN DATO` PADUKA MAHKOTA SELANGOR (D.P.M.S.)
Darjah Kelas Kedua

Kelayakan penerima Darjah Kebesaran ini adalah sama dengan penerima Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor. Darjah kebesaran ini dizahirkan dalam tahun 1961. Bilangan kuota bagi Ahli yang dikurniakan Darjah Kebesaran ini ialah tidak lebih daripada 20 orang pada satu-satu masa dan bilangan maksima keseluruhannya ialah 600 orang.

Ahli-ahli yang menyandang kurniaan ini berhak menggunakan gelaran "Dato' " bagi Ahli Lelaki, "Datin Paduka" bagi Ahli Wanita dan "Datin" bagi isteri Ahli Lelaki. Suami kepada Ahli Wanita tidak berhak menggunakan apa-apa gelaran.

Bentuk dan ukuran Lencananya adalah sama dengan Lencana Darjah S.P.M.S. kecuali lambang yang tertera di atas latar belakang yang rata sebagai menggantikan lambang yang diukir di atas latar belakang enamel merah Darjah Kebesaran S.P.M.S.

Bintang Darjah Kebesaran ini adalah sama ukuran dan bentuknya dengan bintang Darjah Kebesaran S.P.M.S. tetapi tiada bintang perak pecahan lima.

Selepangnya diperbuat daripada kain sutera merah selebar 10 sm dengan jalur berwarna kuning selebar 2 sm di tengah-tengahnya dan dua jalur merah selebar 0.35 sm serta dua jalur kuning selebar 0.35 sm di kiri kanan jalur kuning di tengah-tengah Selepang. Ianya dipakai dari atas bahu sebelah kanan melintang ke bawah ke sebelah pinggang kiri.

Bagi Ahli Wanita pula Lencana dan Bintangnya sama seperti Lencana dan Bintang Ahli Lelaki.

Selepang Darjah Kebesaran ini, adalah sama seperti Selepang Ahli Lelaki tetapi lebarnya berukuran 5.7 sm dengan jalur berwarna kuning selebar 1.14 sm di tengah-tengahnya dan dua jalur merah selebar 0.19 sm serta dua jalur kuning selebar 0.19 sm di kiri kanan jalur kuning di tengah-tengah Selepang.

Selepang bagi kurniaan Darjah Kebesaran ini telah diluluskan pemakaiannya dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bertarikh 23 Disember 1998 atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkuatkuasa mulai 25 Februari 1999.



DARJAH KEBESARAN DATO`-SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH (D.S.I.S.)
Darjah Kelas Kedua
 Darjah Kebesaran ini sama taraf dengan Darjah Kebesaran Dato' Paduka Mahkota Selangor. Kelayakan penerima dikurniakan Darjah Kelas Kedua ini sama dengan mereka yang dikurniakan Darjah Kelas Pertama. Ianya dizahirkan pada tahun 2002. Bilangan kuota orang yang dikurniakan Ahli Darjah Kebesaran ini ialah tidak lebih daripada 20 orang pada satu-satu masa dan bilangan maksima keseluruhannya ialah 600 orang.

Ahli Lelaki yang menerima kurniaan ini berhak menggunakan gelaran "Dato' " dan Ahli Wanita pula berhak menggunakan gelaran "Datin Paduka" pada pangkal nama mereka. Isteri penerima Ahli Lelaki berhak menggunakan gelaran "Datin" manakala suami kepada Ahli Wanita tidak berhak menggunakan apa-apa gelaran.

Rekabentuk Darjah Kebesaran ini adalah sama seperti Darjah Kebesaran Kelas Pertama kecuali garis pusat Bintang Darjah Kebesaran berukuran 8 sm, manakala bahagian tengah Bintang mengandungi Lambang Diraja berlatarbelakangkan enamel berwarna hijau zamrud.

Lencana Darjah Kebesaran ini sama ukurannya seperti bentuk Lencana Darjah Kebesaran Kelas Pertama kecuali bahagian tengahnya berbentuk bujur berlatarbelakangkan enamel berwarna hijau zamrud.

Selepang Darjah Kebesaran ini sama bentuknya seperti Selepang Darjah Kebesaran Kelas Pertama kecuali ia diperbuat daripada kain sutera merah berukuran 11.7 sm lebar dan mengandungi jalur kuning berukuran 0.3 sm lebar di kiri kanan tepinya. 

  Garis Panduan Memohon

PANDUAN BAGI PENCALONAN DARJAH KEBESARAN, BINTANG DAN PINGAT NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN
BIL
KRITERIA
SPMS
SSIS
DPMS
DSIS
1.                   
Penjawat
YAB. Menteri Besar
YAB Timb. MB
Y.B. Speaker
Ahli EXCO
Ahli EXCO
2.                   
I)  Pentadbiran
     (a)   Gred                                             Jawatan
Gred Utama Turus I, II & III
Gred Utama Turus I, II, III
Gred Utama          A, B & C
Gred Utama                     A, B & C
Gred I (54)

(b)  Umur
Melebihi 50 tahun
Melebih 50 tahun
Melebihi 45 tahun
Melebihi 45 tahun

(c)  Tempoh Khidmat





II)   Profesional
Hakim Mah. Persekutuan,  Hakim Mh. Rayuan
Hakim Mah. Persekutuan,   Hakim Mh. Rayuan
Hakim Mah. Persekutuan,    Hakim Mh. Rayuan
Hakim Mah. Persekutuan,   Hakim Mh. Rayuan

(a)  Gred Jawatan
Gred Khas A
Gred Khas A
Gred Utama B & C
Gred Utama B & C


(Tentera)     Penjawat 4 bintang
(Tentera)     Penjawat 4 bintang
Lt. Jen.
Lt. Jen.


KPN, TKPN, Pengerusi Eks. Sykt. Utama
KPN, TKPN, Pengerusi Eks.  Sykt. Utama
P/Jaya Polis
P/Jaya Polis


Prof. Khas A
Gred Utama A
Gred Utama B
Prof. Khas A
Gred Utama A
Gred Utama B
Prof. Gred Khas A, B & C
Prof. Gred Khas A, B & C




Pengarah Urursan Skt. Utama
Pengarah Urusan Sykt. Utama

(b)     Umur
Melebihi 50 tahun
Melebih 50 tahun
Melebihi 45 tahun
Melebihi 45 tahun

(c) Tempoh Khidmat




3.                   
Ahli Politik





(a)     Jawatan


ADUN
Ahli Parlimen
ADUN
Ahli Parlimen

(b)     Umur


Melebihi 45 tahun
Melebihi 45 tahun

No comments:

Post a Comment