05 November 2010

Pemilihan parti secara langsung melibatkan ahli

Submitted by webmaster on Tue, 2010-11-02 10:28
Pemilihan parti secara langsung dengan melibatkan ahli-ahlinya bukan sesuatu yang baru dalam politik antarabangsa, tetapi ia tetap baru dalam persada politik Malaysia.

Tempoh hari ketika saya diundang menyertai satu forum anjuran sebuah akhbar Bahasa Cina mengenai topik berkenaan, terpaksa saya menyingkap kembali kepada peristiwa lampau yang melibatkan diri saya dalam usaha memperjuangkan pemilihan parti secara langsung dalam MCA. Saya tidak berniat langsung untuk bersifat masuk bakul angkat diri, khasnya apabila PKR mula mengamalkan sistem pemilihan parti yang dimaksudkan.

Pengalaman saya dalam memperjuangkan pemilihan parti langsung boleh disifatkan sebagai satu-satunya yang penuh ranjau. Saya julung kali mengesyorkan idea tersebut pada 2005 sebelum bertanding untuk jawatan Naib Presiden dalam pemilihan parti MCA. Namun begitu, syor itu malangnya telah ditenggelami ejekan yang pelbagai dalam kalangan pemimpin parti.

Tiga tahun kemudian, saya berjaya menerajui tampuk kepimpinan parti dan sekali lagi hasrat untuk merombak sistem pemilihan parti terus berkobar. Meskipun kali ini syor saya yang juga salah satu janji saya dalam manifesto pemilihan parti saya diterima sebagai satu ketetapan dalam Majlis Perhimpunan Agung Tahunan, namun rintangan terhadap pelaksanaannya adalah jauh lebih mencabar daripada jangkaan saya.

Dari pelbagai kesangsian yang dibangkitkan, saya sedar pihak yang meragui bahkan yang menentang sistem pemilihan langsung sebenarnya mempunyai agenda berselindung. Ia menepati pengamatan saya mengenai beberapa kelemahan struktur parti dan gejala politik yang terus mengganggu-gugat kesejahteraan parti.

Mungkin apa yang menghantui MCA selama ini boleh juga dijadikan iktibar kepada parti-parti lain. Gejala dan kelemahan yang dimaksudkan sebenarnya adalah hasil secara langsung atau tidak langsung dari sistem perwakilan parti yang sedia ada. Ia termasuk:

(1) Gejala rasuah politik, atau lebih dikenali sebagai ‘politik wang’

Kini amalan rasuah politik semakin terserlah lagi canggih caranya kerana ia tidak lagi terhad kepada sogokan wang kepada perwakilan yang dikuasai sikap tamak, malah habuan yang terlibat boleh dirangkumi dengan istilah 3P, iaitu: Payroll, Project, Pingat.

Sesetengah perwakilan yang sanggup disogok lazimnya ditawarkan, sama ada dengan pemberian elaun bulanan tetap, atau projek. Paling minimum tidak kurang daripada perakuan untuk mendapat anugerah pingat bintang kebesaran. Dalam erti kata lain, habuan tawaran sekarang bukanlah sekadar ad-hoc semata-mata tetapi secara lestari. Itu pun satu cara menawarkan rezeki mudah kepada perwakilan. Tugasan mereka yang diharapkan tidak lain daripada memberi, melobi dan memantapkan sokongan perwakilan kepada pemberi rezeki masing-masing. Ini jauh lebih penting berbanding peranan mereka untuk mendapatkan sokongan rakyat terhadap calon parti dalam pilihan raya.

(2) Gejala Keahlian Palsu

Kewujudan ahli-ahli palsu akan terus berleluasa selagi bilangan ahli dalam sesebuah cawangan atau bahagian parti menentukan bilangan perwakilannya. Lantaran masing-masing berlumba-lumba untuk memperbanyakkan ahlinya, baik dengan cara yang wajar mahupun tidak.

Perlu dijelaskan, ahli palsu disebut tidak semestinya insan yang tidak wujud, kadangkala yang dipalsukan itu ialah permohonan keahlian seseorang individu.

Dalam kata lain, sesetengah ahli parti yang berdaftar itu mungkin tidak tahu menahu langsung mengenai keahlian partinya. Dalam keadaan sedemikian, tidaklah hairan mengapa ramai ahli parti kelihatan tidak menyokong calon parti sendiri dalam pilihan raya.

(3) Gejala Kelesuan Jentera Parti

Walaupun pertambahan bilangan perwakilan tetap dikejar sesetengah pemimpin akar umbi yang berniat merebut kerusi dalam pemilihan parti, namun ini tidak bermaksud mereka sanggup mengamalkan semangat keterbukaan dalam pengambilan ahlinya. Ada kalanya, terdapat mereka yang keberatan mengambil individu-individu tertentu, khasnya yang berpengaruh atau berpelajaran tinggi menjadi ahli parti kerana takut diguling dan diganti kepemimpinannya dalam parti.

Dalam senario ini, sesetengah mereka lebih cenderung mewujudkan ahli-ahli palsu daripada mengambil mereka yang ikhlas dan hendak menyertai parti.

Semua pihak memang mengerti ciri-ciri kelebihan sistem pemilihan parti secara langsung walaupun pelaksanaannya bukanlah semudah kita fikir. Namun mereka yang berdolak-dalik agar menggagalkan ura-ura pemilihan langsung kebanyakannya berbuat demikian atas desakan perhitungan politik peribadi.

Mereka yang ghairah mengamalkan rasuah politik sudah tentu rasa tertekan seandainya pemilih yang mengundi tidak lagi terhad kepada perwakilan yang mereka boleh kuasai. Ini bermakna jumlah wang atau habuan sogokan mereka dijangka berlipat ganda.

Bagi mereka yang tidak berpolitik wang pun, turut perlu menanggung risiko politik yang tinggi kalau mandat mereka rebut itu kena diperoleh daripada semua ahli parti.

Di samping itu, mungkin terdapat satu lagi perhitungan berselindung yang melibatkan maruah parti pada keseluruhannya. Kita sedia maklum tentang wujudnya ahli-ahli palsu. Sekiranya pemilihan langsung, sudah tentu gejala politik berkenaan akan terdedah dengan mudah kerana mustahil ahli-ahli palsu boleh mengundi dalam pemilihan parti.

Cuba bayangkan kalau peratusan ahli parti mengundi terlalu rendah, ia akan membawa pengertian sama ada ahli-ahli parti berkenaan telah kehilangan komitmen atau kepercayaan terhadap hala tuju perjuangannya; ataupun lebih tenat lagi jika ia mendedahkan terserlahnya ahli-ahli palsu.

Pemimpin-pemimpin yang mengamalkan politik wang dan ahli palsu melalui sistem perwakilan sedia ada mungkin boleh merebut lagi menguasai tampuk kepimpinan sesebuah parti. Namun pemimpin pilihan perwakilan tidak semestinya diterima masyarakat, khasnya kalau mandat pemilihan itu dipengaruhi habuan.

Keadaan sebegini perlu kita renungi bersama kerana penolakan seseorang pemimpin parti dalam kalangan rakyat hanya akan merugikan parti itu dari segi kewibawaan parti serta bilangan kerusi yang boleh dimenangi dalam pilihan raya. 

ORIGINAL POSTING http://ongteekeat.net

No comments:

Post a Comment