13 September 2012

Jayakan Transformasi Najib, kata Tee Keat

Mychannel13.com
April 01 2012 06:46 AM

KUALA LUMPUR : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak harus memastikan siri program transformasi yang diperkenalkan oleh beliau benar- benar didokong bukan sahaja oleh rakyat tetapi juga oleh jemaah menteri dan jentera Barisan Nasional demi memacu negara ke depan,  kata bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat.
Mantan Menteri Pengangkutan itu menegaskan penerimaan akar umbi dan pimpinan tertinggi kerajaan penting untuk memastikan segala pembaharuan yang mahu dilaksanakan oleh Najib berjaya dan tidak disabotaj sehingga menjejaskan peluang BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Kita tak mahu orang hanya bersungguh- sungguh di depan Najib, tapi dibelakang mereka tidak melaksanakan misi perubahan. Saya pernah mengalami situasi ini. (Adalah) lebih teruk (jika) disabotaj oleh orang sendiri," katanya.

Tee Keat menerajui MCA, parti komponen kedua terbesar dalam BN ketika parti itu berdepan dengan krisis kepimpinan membabitkan Datuk Chua Soi Lek.

Belum cukup setahun memegang jawatan itu, Ong terpaksa berundur apabila tewas tipis dalam undi tidak percaya yang dibentangkan pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM), MCA pada Oktober 2009. Beliau terpaksa memberi laluan kepada Chua.   

Tee Keat yang dikenali sebagai pemimpin tegas dan bersih,  berkata siri pembaharuan yang mulakan oleh Najib terpaksa mengharungi pelbagai kekangan dan bantahan, khususnya daripada seteru politik yang menangguk di air keruh.

Apa pun,  Najib harus mengelak berulangnya situasi yang menyaksikan Tun Abdullah Ahmad Badawi tidak mendapat sokongan jentera pentadbiran sehingga BN hilang majoriti dua pertiga di Parlimen pada pilihanraya umum 2008.

Selain itu, pembangkang turut menawan Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak selain mengekalkan Kelantan. Perak bagaimanapun kembali ke tangan BN apabila tiga Adun pembangkang meninggalkan pakatan itu.

"Pada zaman Pak Lah, BN pernah menang besar pada 2004 dan kemenangan itu yang terbesar dalam sejarah politik negara. Tapi malangnya pada tahun berikutnya, apa yang dijanjikan tidak dapat dikotakan disebabkan sebab- sebab tertentu. Jadi bagi saya, perkara itu telah berlaku dan kita patut jadikan ia sebagai ikhtibar," ujarnya dalam temubual eksklusif dengan Mychannel13.com

Mengulas mengenai sokongan kaum Cina terhadap BN yang menurun dengan mendadak pada PRU lalu,  Tee Keat yakin keadaan itu bersifat sementara.

BN mampu meraih semula sokongan itu tetapi harus melipat gandakan usahanya turun padang secara berterusan dan bukannya bermusim, ujar Ong yang masih menjadi Ahli Parlimen Pandan Jaya.

Ong menafikan persepsi kononnya pengundi Cina kini penyokong tegar pembangkang. Beliau merujuk kepada keputusan pilihanranraya pada tahun 1995, 1999 dan 2004 sebagai bukti BN masih mampu memperolehi sokongan masyarakat itu.   

"Kalau 3 penggal berturut-  turut masyarakat Cina bagi mandat pada BN begitu meyakinkan, saya rasa sokongan itu bukan bersifat kadang kala,"
Wacana Sinar Siri 11 - Mengapa Undi Melayu Pecah?

Tee Keat berkata sokongan pengundi Cina kepada pembangkang pada pilihanraya 2008 berpunca daripada kegagalan BN mengotakan janji-janji oleh kepimpinan lalu.

"Apa yang kita harapkan sangat (tidak kira apa kaum), bila berjanji kita harapkan ia ditepati. Jika tidak kita akan kecewa. Bila ada dakyah- dakyah dari parti lain yang meresap masuk, apa yang akan terjadi ?" jelas Ong.

Ong berkata kaum Cina beralih kepada pembangkang pada 2008 semata- mata kerana mahu melihat sistem pentadbiran, politik dan segala- galanya atas landasan yang betul.  

Beliau yakin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mampu meraih semula sokongan itu jika semua segmen dalam kerajaan dan Barisan Nasional memberikan sokongan padu kepada program-program transformasi yang dibawa oleh beliau.

 

No comments:

Post a Comment