Tidak terhalang kejar impian pembentukan 1Malaysia sejati
 Kolum Dwimingguan dalam akhbar Sinar Harian 
Oleh: Ong Tee Keat 
Politik negara kita ini telah lama dihantui oleh soal perkauman. Apa  saja yang berbangkit dalam arena politik pasti boleh diperalatkan oleh  orang politik untuk menepati kepentingan politik perkaumannya yang  tertentu.  
Dalam perspektif ini, ada yang menuding jari kepada wujudnya parti  politik yang berteraskan kaum; ada pula yang mempersalahkan pihak yang  sering kali mengungkitkan tuntutan satu-satu kaum. Malah sesetengah  tokoh pendidikan berulang-kali berpolemik bahawa integrasi nasional  hanya akan tercapai melalui pendidikan satu aliran sekolah, iaitu aliran  sekolah kebangsaan. 
Namun segala-gala ini tidak pernah memberikan kita penawar yang mujarab  bagi mengubati gejala-gejala yang terus mengganggu-gugat integrasi kaum  di bumi Malaysia ini. Sementara itu, kita memang tidak dapat menyangkal  bahawa orang politik lah yang sebenarnya mencorakkan politik negara ini.  Masyarakat Malaysia adalah sebuah masyarakat majmuk, itu tetap satu  hakikat. Namun ciri-ciri perbezaan kita, baik dari segi etnik mahupun  agama dan budaya, tidak sekali-kali menjadi bibit-bibit perpecahan jika  ianya tidak dieksploitasikan oleh orang-orang politik tertentu yang  berfikiran sempit lagi perkauman. 
Dalam kerjaya politik saya sekian lama, saya dapati lazimnya orang  politik cenderung membeza-bezakan permasalahan rakyat mengikut etnik,  sehingga ianya mudah memperkotak-katikkan daya usaha kita untuk  menyelesaikan sesuatu masalah dalam perspektif etnik yang sempit. 
Sebagai contoh, kenapakah hingga kini kita masih terperangkap dalam  takuk minda lama yang terus menonjolkan peratusan penguasaan ekonomi  negara mengikut etnik, sedangkan jurang perbedaan ekonomi yang wujud  dalam sesuatu kaum tidak diberi penekanan yang sewajarnya. 
Dalam perbincangan isu ekonomi pula, tidaklah bermakna sekiranya soal  seperti bilangan tokoh-tokoh korporat Bumiputera atau bukan-Bumiputera  yang terangkum dalam golongan sepuluh terkaya terus diheboh-hebohkan.  Ini hanya akan menyemai hasad-dengki yang mudah dieksploitasikan oleh  oportunis-oportunis politik perkauman, namun ianya tidak memberikan kita  satu senario yang sebenarnya.  
Bagi saya, penonjolan tokoh-tokoh korporat Cina yang ramai dalam  golongan sepuluh yang terulung tidak bermakna tidak wujudnya masalah  kemiskinan dalam kalangan masyarakat Cina. Demikian juga, pemberian  pelbagai subsidi atau bantuan Kerajaan sejak sekian lama dalam pelbagai  bidang tidak menepati matlamatnya untuk membantu golongan miskin yang  sejati kerana ianya turut dikecapi bersama oleh semua lapisan masyarakat  tanpa pemilihan yang selektif. 
Selama ini saya tetap berimpian alangkah indahnya bumi Malaysia yang  kaya dengan pelbagai sumber ini dapat memanfaatkan seluruh rakyat  melalui pengujudan peluang bersaing yang saksama; dan bukannya menjadi  sasaran pembolotan dan penguasaan segelintir orang politik yang tamak  haloba lagi berkuasa. 
Dalam usaha menangani isu PKFZ, saya rasa terpanggil untuk bertindak  menerusi satu penyiasatan menyeluruh ketika saya menyandang jawatan  Menteri Pengangkutan. Walaupun ianya telah memusnahkan kerjaya politik  saya mengikut kaca mata umum, namun saya tidak pernah menyesal malahan  berkeyakinan penuh bahawa keadilan hanya akan ditegakkan melalui  tindakan mengheret pesalah-pesalah ke muka pengadilan, di samping  berusaha mengembalikan wang pembayar cukai yang berjumlah  berbilion-bilion yang kononnya telah dilesapkan dalam pelaksanaan projek  sebelum ini. 
Saya terkilan apabila dianggap berniat mencari pengaruh politik untuk  menyelamatkan kerjaya politik saya ketika saya memberi komen mengenai  perkara tersebut baru-baru ini. Saya memang tidak berjawatan lagi dalam  pentadbiran, tetapi ia tidak sekali-kali menidakkan hak saya bersuara  atas perkara sebegini yang berkepentingan rakyat. Pihak yang menegur  saya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) telefon bimbit itu mahukan  saya memfokuskan kepada daya maju dan masa depan projek PKFZ dan  bukannya isu penyelewengan lampau.  
Bagi saya, usaha untuk menyelamatkan projek PKFZ tidak bercanggah dengan  inisiatif untuk mencari kebenaran dan menegakkan keadilan melalui  penyiasatan dan perundangan. Saya tidak faham kenapa pihak yang  berkenaan perlu bersikap cepat melatah sebegini bila saja penyelewengan  yang terkandung dalam projek ini dituding jari. 
Pada masa yang sama, soal mencari pengaruh politik peribadi saya tidak  timbul sama sekali. Mungkin bagi mereka yang bergantung bulat-bulat  kepada kronisma politik demi rezekinya, survival politik memanglah  segala-galanya. Tetapi saya tetap yakin dunia politik bukanlah satu  persada yang tiada seinci ruang pun bagi kebenaran dan keadilan. 
Juga saya tidak lupa sesetengah anasir dalam parti saya pernah  memutarbelitkan tindakan saya terhadap PKFZ sebagai satu-satunya yang  mensasarkan ahli korporat Cina. Ini sesungguhnya merupakan satu tuduhan  berbaur perkauman yang lantang. Kedaulatan undang-undang negara  sememangnya tidak mengenal kaum dan status sosial seseorang yang  disabitkan kesalahan. 
Saya mengeluh dan terkilan bukan kerana mereka berjaya menumbangkan  kepemimpinan saya dalam parti MCA, tetapi atas kesanggupan mereka  membela ‘pagar yang makan padi’ menggunakan alasan perkauman yang  sempit. 
Apa pun, tetap saya tidak sekali-kali terhalang daripada mengejar impian  saya yang memperlihatkan terbentuknya “ 1Malaysia” yang sejati. 
DATO’ Sri Ong Tee Keat adalah Ahli Parlimen Pandan dan mantan Menteri Pengangkutan.

 
 
No comments:
Post a Comment